Saya memang anak Kelantan dengan menpunyai tekak dan selera Kelantan. Pendek kata sampai bila pun, saya dan Kelantan tidak dapat dipisahkan. Selain Akok kuih muih Kelantan kegemaran saya ialah Sekaya Telur di SINI, Nekbat yang banyak didapati di bulan Ramadhan.
Saya menanyakan kawan kawan sekolah dari group WhatsApp kawan sekolah dahulu kalau mereka ada resepi akok yang tested. Kebanyakan mereka bekerja dan menetap di Kelantan. Jadi mereka lebih mudah mendapat resepi orang tua tua dulu. Alhamdulillah Cik gu Siti Norizan Omar, kawan sekolah sejak dibangku sekolah rendah lagi telah sudi mengajar saya resepi yang telah ditambahbaik dan dicuba sendiri.
Sementara Juita ada di rumah, saya mengajak Juita meneman saya di dapur. Senang untuk merakam video sekali. Kalau buat sorang sorang, memang lambat lah sikit. Kata Cik gu Zan, dia guna bekas acuan cupcake yang dibeli di Lazada sahaja. Senang dan cepat. Saya tak ada bekas tu, jadi guna bekas muffin dan bakar guna oven sahaja.
Jom layan resepi yang telah saya gunakan hari ini. Saya tidak dapat mengagak saiz gula Melaka yang digunakan. Jadi saya timbang sahaja. Lebih kurang 100 gram gula Melaka. Saya tak guna gula pasir pun. Pada saya, dah secukup rasa manisnya. Tapi Juita kata, kurang manis.
Kuih Akok Kelantan Yang Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Menghasilkan: 12 biji
Bahan bahan:
7 biji biji telur
250 gram santan - santan kotak + air
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan air
100 gram gula Melaka - nak manis boleh tambah 1 sudu gula
Secubit garam
3 helai daun pandan - gunting
2-3 kuntum bunga cengkih - opsyenal untuk aroma
Cara cara
Kisar gula Melaka, air dan daun pandan sehingga hancur dan tapis. Tuang semula ke dalam blender.
Kisar sekali lagi air gula Melaka tadi dengan semua bahan lain sehingga betul betul kembang.
Panaskan oven selama 15 minit pada suhu 180 C dan griskan muffin tray dengan minyak. Masukkan acuan ke dalam oven sehingga tray agak panas.
Keluarkan acuan dan tuang adunan ke dalamnya dalam 3/4 penuh sahaja.
Bakar selama 18-20 minit atau sehingga masak. Saya suka yang kulit akok garing sedikit.
Setelah dikeluarkan dari oven, akok akan mengecut dan permukaan akan berkedut kedut. Lalukan dengan pisau ketika ianya masih panas panas supaya mudah dikeluarkan dari acuan.
0 coment�rios: