Hari ni saya ingin kongsikan resepi Kacang Panjang Hati Ayam Goreng. Sebelum itu, kita selitkan sedikit petikan dari kuliah Zohor Ustaz Rizal Rahim di surau pejabat saya. Sesiapa membaca surah Al Kahfi Allah pada hari Jumaat, Allah akan kurniakan padanya cahaya antara 2 Jumaat. Kita boleh bergerak kerana adanya cahaya. Tanpa cahaya kita akan berada dalam gelap gelita dan tidak dapat bergerak. Bayangkan jika keadaan gelap gelita tanpa sedikit pun cahaya.
Ustaz mengupas bab rezeki di mana antara kamu adanya pembahagian rezeki tapi Allah bagi panduan bagaimana untuk menjadi kaya. Kita tidak yakin dengan rezeki yang Allah janji. Ada rezeki yang Allah telah jamin cuma kita tak tahu nisbahnya. Yang pasti makhluk tidak tahu cara ianya ditadbir. Itulah Allah tunjukkan caranya.
Rezeki pertama adalah rezeki yang Allah jamin iaitu tanpa usaha. Contoh rezeki bagi anak yang baru lahir. Si ayah yang menanggung anak yang lahir. Kedua, rezeki diberi dalam bentuk yang telah disusun dan diberi pembahagian. Ianya rezeki tanpa usaha, sebagai contoh urusan ekonomi yang mana pihak pemerintah perlu mengusahakan. Ketiga adalah rezeki dalam kategori perlu usaha sebagai contoh nak beli rumah kena bekerja dan berusaha. Ada rezeki yang datang dengan amalan yang kita lakukan seperti zikrullah seperti solat sunat, zikir dsb. Ada rezeki yang Allah janjikan kepada hambaNya yang bertaqwa seperti mana tafsiran ayat 1000 dinar. Surah Ath-Thalaq: 2-3 bermaksud,
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (QS Ath-Thalaq : 2-3).
Jangan pegang 100% bahawa usaha kita yang membawa kejayaan. Perintah agama yang menyuruh kita untuk berusaha, tapi yang memberikan rezeki adalah Allah. Semua yang ada adalah pinjaman. Harta kita, pasangan kita. Semuanya dipinjamkan.
Mungkin saya boleh kongsikan sedikit pengalaman saya sendiri. Saya mula mengamalkan ayat 1000 dinar selepas diajar oleh seorang sahabat. Ianya bukan kerana ayat rezeki dsb tapi kerana tafsiran dan ayat tesebut yang perlu dihayati. Saya yakin dengan bertaqwa pada Allah, segalanya akan dipermudah. Dengan beristighfar, semuanya akan ditunjukkan jalan keluar.
Alhamdulillah rezeki saya datang mencurah curah dengan tidak disangka sangka, segala usaha saya dipermudahkan, segala permasalahan saya ditunjukkan jalan keluarnya. Harta dimiliki bukan untuk dibangga tapi untuk kita bersyukur. OK cukuplah setakat ini. Terima kasih kerana sudi membaca apa yang saya kongsikan di sini. Semoga kita sama sama mendapat manafaat darinya.
Saya ternampak Filla, blogger terkenal yang lawa tu, menunjukkan masakan yang dimasak Bonda beliau dalam Insta story. Aduuh memang nampak sedap sangat. Itu yang saya mesej menanya apa bahan yang diletak bersama kacang panjang. Filla memberitahu hati, mempedal ayam yang digoreng seperti sambal jawa cuma tak diletak suhun dan santan. Diberitahu juga yang ianya dimasukkan juga halia muda yang dihiris halus. Diletak banyak banyak.
Saya tidak pernah ingat kalau saya pernah memasak Sambal Jawa. Jadi saya hentam sahajalah resepinya dengan mencampak campak sahaja apa yang terlintas di hati. Yang menyedapkan adalah penggunaan sos tiram dan Maggi Cukup Rasa. Hari ini anakanda saya, Dr Nana menghantar WhatsApp memberitahu, Mama, sedaplah masak spaghetti letak Maggi Cukup Rasa ni. Hahaha saya kalau memasak, memang mesti nak menabur sedikit Maggi Cukup Rasa.
Untuk menghasilkan sayur yang cantik, elok direbus dahulu hati dan mempedal. Setelah masak, ditabur sedikit garam dan serbuk kunyit. Jom layan resepi yang mudah, bahan yang ringkas tapi sedap kebabom ini. Memang sedap, saya makan meratah ratah begitu sahaja. Jangan lupa layan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel.
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ikat kacang panjang - potong serong
Hati dan mempedal ayam - rebus seketika
4 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
2 - 3 inci halia muda - hiris nipis
1 sudu besar sos tiram Maggi
1 sudu besar kicap lemak manis
1 tangkai cili merah - hiris
1 tangkai cili hijau - hiris
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Garam - jika perlu
Cara-cara:
Hati dan mempedal ayam direbus seketika dan dilumur dengan garam kunyit. Panaskan minyak dan goreng hati tadi. Angkat dan tos.
Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih, bawang merah dan akhir sekali halia muda sehingga wangi. Lagi banyak halia muda, lagi sedap rasanya.
Masukkan kacang panjang dan sos tiram Maggi serta kicap lemak manis. Kacau rata.
Masukkan sedikit air sekadar untuk melembutkan kacang. Masukkan hati yang telah digoreng tadi. Kacau rata.
Akhir sekali, masukkan Maggi Cukup Rasa dan cili yang telah dihiris. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Boleh juga jika tidak mahu direbus dahulu hati dan mempedal. Tapi sayur akan lebih cantik jika ianya direbus atau dikukus terlebih dahulu.
0 coment�rios: