Saya makan lauk Udang Goreng Cili Kering ni masa makan malam di rumah besan kami Datin Nursinah. Tak ada plan pun untuk makan malam di sana. Kami ke sana menemani Nelly yang ingin menghantar kain kain yang dikirim Datin Nursinah.
Lauk semua sedap sedap. Ada kari ayam, asam pedas ikan kerapu, sayur goreng dengan cendawan, ikan bilis goreng dengan kacang tanah, ulam, sambal dan tempoyak. Adui memang banyak dan sedap sedap semuanya.
Salah satu lauknya ialah Udang Goreng yang berkuah pekat pekat. Saya yang tidak boleh makan udang pun, terpaksa mengalah dengan mengambil juga seekor. Lepas seekor, ambil lagi seekor sebab sedap.
Datin Nursinah memang pandai memasak dan rajin memasak. Sewaktu saya belum kerap ke dapur, dia memang dah hari hari memasak walaupun menpunyai pembantu rumah. Kami pernah dijemput makan malam di rumah mereka ketika itu di Seksyen 9 Shah Alam. Masih ingat lagi antara lauk yang dihidangkan ialah Kari Ikan, Sambal Tumis Udang dengan Petai, Sambal Belacan dan banyak lagi. Hahaha kami memang suka bertunggu bertangga rumah mereka. Bila tak ada hal, kami akan ke sana secara mengejut sambil menjenguk Haziq.
Seperti biasa, kalau dah sedap saya mula lah menanya bahan bahan dan cara menyediakannya. Menurut Datin Nursinah, resepi ini dipelajari dari Bonda beliau sendiri yang merupakan resepi keluarga mereka.
Cili kering flakes boleh juga dibeli siap tapi ianya kurang sedap kerana ada ketika selepas dimasukkan ke dalam kuali, ia akan menjadi lembik. Tidak garing. Jadi dia mencadangkan supaya disediakan sendiri. Cili kering dibasuh dan tos. Goreng sehingga garing dan kemudian dikisar.
Jom layan resepi yang saya salin untuk rujukan di masa depan. Jom sama sama cuba resepi ini untuk hidangan keuarga masing masing.
Udang Goreng Cili Kering
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
15 ekor udang
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1-2 sudu besar cili kering kisar
Sos tomato
Bahan lain:
Bawang besar
Buah tomato
Daun sup
Cara cara:
Cili kering digoreng hingga garing dan dikisar dengan pengisar kering. Boleh dibuat banyak dan simpan dalam bekas kedap udara untuk kegunaan masa depan. Nota: Datin Nursinah goreng cili kering tanpa minyak.
Lumur udang dengan garam dan serbuk kunyit.
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi. Masukkan udang dan goreng hingga hampir masak.
Masukkan cili kering flakes dan sos tomato ke dalam udang tadi. Akhir sekali, masukkan bawang besar, buah tomato dan daun sup.
0 coment�rios: