Mungkin dek kesakitan yang terlalu lama, airmata saya akhirnya gugur berderai hari ini. Segalanya suram dan muram di sebalik kegembiraan dir...

Air Mata Dan Azam Di Hari Jadi


Mungkin dek kesakitan yang terlalu lama, airmata saya akhirnya gugur berderai hari ini. Segalanya suram dan muram di sebalik kegembiraan diraikan oleh famili dan sahabat tersayang sempena hari jadi saya. 

Di pejabat, saya diraikan oleh rakan rakan sepejabat. Keletah dan riuh rendah mereka sangat mengembirakan saya. Serious, saya rasa sangat gembira bila kawan kawan menyanyikan lagu hari jadi buat saya. Gurauan dan usikan sesama sendiri akan tetap dikenang. 


Sebelah malam pula, anak anak membuat surprise dinner untuk saya. Saya sangat sangat tidak menyangka kerana mereka telah meraikan saya sebelum ini dengan makan malam steak wagyu dan tomahawak. 

Kejutan yang teramat buat saya ialah bila Boy dan Mia juga hadir dan menyanyikan lagu hari jadi buat saya sambil membawa keluar sebiji kek dari dapur. Saya terkejut dan terkedu. 

Sempena hari jadi kali ini, saya berazam untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik kepada diri sendiri, famili, rakan rakan dan juga follower yang sentiasa menyokong saya. 

Perkongsian di group WhatsApp oleh kawan kawan berkenaan nilai sebuah persahabatan di dalam group WhatsApp yang menemukan rakan rakan yang lama terpisah, menyebabkan saya menjadi sangat terkesan. Sehinggakan semasa rehat tengahari saya memainkan lagu lagu sentimental tanpa henti. Serasa di saat itu, saya ingin pergi jauh membawa diri. Rindukan Juita yang tetap ingat untuk menghantar macaroon Laduree kegemaran saya sebagai hadiah harijadi saya walaupun jauh di Manchester. 


Selepas makan malam dengan anak anak, saya naik ke bilik sambil memainkan lagu lagu Francisca Peter Sekadar Pinggiran, Aku Hanya Seorang Pendatang dan Akulah Kekasih Mu. Lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad Terasing dan Merisik Khabar juga membuatkan hati menjadi lebih suram. Kesuraman ini menjadikan airmata saya mengalir menggugurkan segala tekanan, kesakitan dan kekesalan yang bersarang di hati.  

Senikata dan bait bait lagu lagu Francisca Peter menceritakan rasa hati dan menpunyai sejarah sedih tersendiri. Masih teringat satu hari selepas balik dari kuliah, saya merebahkan diri di katil rumah sewa dan menangis semahunya selepas mendengar lagu Sekadar Pinggiran yang dinobatkan sebagai juara lagu ketika itu.  

Walaupun saya cuba untuk melupakan masa silam dan melangkah ke hadapan, ternyata tidak semudah itu untuk ianya dipraktikkan walaupun selepas berpuluh tahun. Namun begitu, kesedihan saya malam ini tiada kena mengena dengan kisah silam ini.

Semoga hari jadi tahun ini menjadi titik tolak untuk saya memperbaiki diri dan kelemahan saya. Mahu menjalani hidup ini dengan penuh makna dan manafaat kepada orang sekeliling saya terutama suami dan anak anak serta adik beradik. 


Saya mahu memandang kecil segala ujian, tekanan dan cabaran yang saya hadapi sekarang ini. Ujian adalah sesuatu yang bersifat sementara, ianya pasti pergi. Saya mahu menguatkan keyakinan ini. 

Saya ingin mempersiapkan diri untuk mencari syurga abadi dengan redha akan segala ujian dan takdir yang telah menimpa. Lagi pula, ujian diberi sebagai tanda Allah Mengasihi saya. Mudah mudahan. Aameen. 


  

0 coment�rios: