Sebelum saya berkisah bab Gulai Ayam Lauk nasi berlauk Kelantan, saya sekadar ingin menulis bab ujian. Kadang kadang saya terfikir, saya sed...

Gulai Ayam Kelantan Untuk Nasi Berlauk



Sebelum saya berkisah bab Gulai Ayam Lauk nasi berlauk Kelantan, saya sekadar ingin menulis bab ujian. Kadang kadang saya terfikir, saya sedang diuji. Diuji dengan ujian yang saya tidak mahu nyatakan di sini. Tetapi saya tahu ujian kecil dalam hidup akan menjadikan hidup kita lebih berwarna warni dan menarik. 

Mungkin itu yang Allah ingin memberikan peringatan. Saya tiba tiba menjadi sangat sibuk. Sibuk sehingga membataskan masa dan tenaga untuk hadir ke kuliah kuliah agama seperti dulu. Sama samalah doakan agar saya kembali diberi rezeki kelapangan masa dan dipermudahkan segala urusan. Aameen. Jom masuk bab masakan pula. 

OK sebelum tu, saya ingin memaklumkan bahawa Instagram Azie Kitchen adalah @aziekitchen. Ramai follower yang menulis bahawa mereka telah lama tercari cari dan baru menemui IG azie kitchen. Kepada yang belum follow, boleh lah follow IG saya ya. Jom kita chatting di situ. 

Seorang follower blog Azie Kitchen minta saya kongsikan cara memasak Gulai Ayam untuk lauk nasi berlauk yang sedap. Saya menanyakan tips dari sahabat saya, Mama Maznah yang memang hebat dalam bab masak memasak dan juga mengambil tempahan kecil kecilan di kampung. 

Katanya untuk Gulai Ayam, mesti dimasak dengan kaedah Raja Berangkat iaitu bahan bahan dan serbuk rempah kari tidak ditumis sebaliknya dimasak bersama sama dengan ayam. Cara ini juga adalah cara menyediakan Gulai Ayam Nasi Kak Wook. Kawan saya Maznah ni sempat melihat cara Kak Wook memasak semasa dulu dulu. Bezanya nasi Kak Wook menggunakan keropeh ayam serta dimasukkan sekali sayuran seperti terung, kacang panjang dan cili hijau. 

Untuk memastikan kuah cantik dan menyelerakan, kulit ayam jangan dibuang kesemuanya. Biarkan ada kulit sedikit. Juga Nah mengesyorkan supaya rempah gulai dicampurkan beberapa brand seperti Adabi dengan rempah gulai kampung yang saya gunakan hari ini. 

Memasak juga mesti menggunakan api perlahan supaya kuah masak dengan elok dan lambat basi. Kalau lauk nasi berlauk, mesti lah ada sekali sambal cili Kelantan dan hirisan timun. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. 


Gulai Ayam Lauk Nasi Berlauk
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
2 - 2 1/2 sudu besar rempah gulai  - campur rempah kari Adabi  
1-2 keping asam keping 
Garam
Gula Melaka
Susu cair - opsyenal

Bahan kisar:
2-3 sudu besar cili kering kisar
3 ulas bawang merah
1 inci halia
2-3 hiris lengkuas
1 inci kunyit hidup 

Cara cara:
Campurkan semua rempah gulai dan bahan kisar dengan ayam hingga rata. 


Jerang atas dapur dengan sedikit santan cair. Masak guna api kecil.

Bila ayam hampir masak, masukkan santan. Masukkan air secukupnya. Masak sehingga mendidih. 


Masukkan asam keping, gula Melaka dan garam. 

Akhir sekali, masukkan santan pekat. Terus masak dengan api perlahan sehingga kuah tiada lagi kelihatan berbuih dan mulai terbit minyak nipis. Kalau terbit minyak tebal, tandanya dah terlebih masak dan ayam dah hilang zat. 


Jika suka, masukkan sedikit susu cair untuk menambah rasa lemak. 

Bolehlah tutup api dan sedia untuk dinikmati sebagai lauk nasi berlauk atau dicicah dengan roti jala. 

0 coment�rios: